• 567
    Shares

Ungkapan seorang anak yang meminta emaknya memberi tumpuan kepada adiknya sebelum keluar dari rumah pada Sabtu malam benar- benar menjadi kenyataan apabila dia dan kenalan lelakinya, maut selepas terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di Jalan Ampang semalam.

“Lepas ini mak tak payah jaga kakak dah, kakak nak pergi jauh, selama-lamanya. Jaga saja adik” yang diungkapkannya sebelum keluar rumah memberi petanda dia ingin pergi selama-lamanya.

Kisah sedih ini dikongsikan oleh ibunya, Arizah Daud, 47 yang mengakui berasa amat sedih selepas kehilangan anak sulungnya, Nur Athirah binti Rohaizak, 17, pelajar SMK Bangsar yang maut dalam kejadian 5.55 pagi semalam di Jalan Ampang. Selain Athirah, kenalan lelakinya yang juga penunggang motosikal, Muhammad Fitri Samsudin, 19 tahun turut maut di lokasi kejadian.

“Sedih dan sebak hati saya. Tiada kata-kata mampu saya tuturkan,” katanya yang juga seorang balu selepas kematian arwah suaminya, Rohaizak bin Hamad kira-kira 7 tahun lalu.

Ibunya hanya mengetahui tentang kemalangan ini selepas terlihat di whatsapp jirannya di mana dia mengenali ic anaknya itu

 

Inilah gambar terakhir arwah yang diuploadnya sebelum meninggal dunia semalam

 

 

Berkongsi kisah sedih ini, Arizah yang juga pengidap kanser payudara yang kini sudah merebak ke organ paru-parunya berkata, malam sebelum kejadian, anak sulungnya yang disapa Mok sudah tidur sebelum seseorang melaungkan namanya dari bawah mengajak keluar.

“Arwah bangun dari tidurnya. Dia ada minta duit RM10 dari pakciknya. Beriya-iya dia merayu minta duit itu bila pakciknya enggan beri. Katanya ini yang terakhir. Selepas ini dah tak minta dah. Malah arwah juga sempat berpesan pada neneknya agar tidak dikuncikan pintu rumah kerana mudah untuk dia masuk nanti.

“Pada saya dia cakap, selepas ini mak tak payah susah-susah jaga kakak lagi. Kakak nak pergi jauh dan jaga saja adik,” katanya yang sama sekali tidak menyangka anaknya maut kerana dia hanya mendapat berita ini selepas melihat whats app yang sudah viral di telefon  bimbit jirannya.

“Saya nampak ic dan saya tahu itu anak…”

Jelas Arizah, pada pagi kejadian, dia ke Eco City berdekatan rumahnya untuk pendaftaran mengundi. Ketika itu jam lebih kurang 11 pagi.

“Semasa duduk sebelum jiran, dia sedang melihat-lihat telefon bimbitnya sebelum memaklumkan kepada saya, ada pelajar sekolah meninggal dunia di Jalan Ampang dan kad pengenalan mangsa sudah disebarkan melalui aplikasi Whats App itu. Memandangkan line agak perlahan, jadi ia mengambil masa sedikit. Tapi sebaik terpandang kad pengenalan anak, terus saya menangis. Emak minta saya jangan rebah dan ketika itu laju saja kaki melangkah dengan juraian air mata. Saya tak boleh nak berkongsi kesedihan ketika itu dengan sesiapa. Anak yang baru saja saya tengok depan mata tetapi hanya berita kesedihan yang saya dapat bila anak sudah jadi mayat.

“Saya pun tak tahu seberapa laju saya melangkah. Masa 20 minit hanya jadi 10 minit untuk sampai ke rumah. Sampai saja depan rumah, sudah ada anggota polis yang menunggu untuk memaklumkan kejadian ini,”katanya yang tak mampu menahan sebak di dada. Berkali-kali air matanya mengalir. Terlalu sebak dan sedih kerana Athirah anak perempuan sulung yang diharap mampu menjaganya kala sakit tetapi ternyata, anaknya itu pergi dahulu dijemput illahi.

Ibunya begitu sebak bila bercerita tentang arwah anak sulungnya itu

Mengakui agak tertekan kerana kejadian ini, ditambah kanser payudara yang dihidapinya, kata Arizah, dia hanya mampu menyerahkan segalanya kepada Allah.

“Ada macam-macam cerita saya dengar dan orang cakap. Kami hanya menunggu CCTV mengenai punca kematian. Polis cakap kejadian langgar lari, ada laporan akhbar cakap langgar pokok dan sebagainya,” katanya yang memaklumkan, jenazah anaknya dan kenalannya itu dimandi dan dikafankan di PPHUKM sebelum disolatkan di Kampung Limau di sini.

Sebagai ibu yang terpaksa menangung semua perbelanjaan selepas suaminya meninggal dunia, ditambah kanser payudara dihidapinya malah sebelah dari payudaranya sudah dibuang, kata Arizah apa yang dibimbanginya adalah keadaan kesihatannya yang semakin merosot.

“Saya kini menumpang rumah emak di Blok 100, PPR Seri Pantai, Pantai Dalam bersama adik beradiknya yang lain. Saya sudah berkali-kali membuat permohonan rumah tetapi ditolak tanpa sebarang alasan.

“Begitu juga dengan bantuan Baitulmal. Baru ini saja dapat selepas membuat rayuan banyak kali. Buat masa ini saya berniaga nasi lemak yang dimasak emak kerana dengan itu sajalah dapat menampung perbelanjaan sekolah anak dan lain-lain. Lain-lain kemahiran saya tak ada, hendak bergerak dengan cergas pun susah dengan masalah kesihatan ini,” katanya yang sangat berharap agar dapat menyewa rumah PPR kelolaan DBKL kerana dia sudah puas merayu.

“Sekarang ini saya selalu keluar masuk hospital. Kadang berhari-hari tambahan pula kanser sudah merebak ke paru-paru. Kadang hendak bernafas pun payah, tetapi kata orang hidup perlu diteruskan juga selagi ada hayat,” katanya sedih.

Nenek sempat berkongsi cerita kali terakhir dia berborak dengan cucunya itu yang meminta agar dia tidak mengunci rumah kerana akan balik

Dalam pada itu, ketua Blok 100, Azanam berkata, semua urusan mengenai keluarga ini turut diambil berat oleh pihaknya.

“Kami bersama-sama menyembahyangkan jenazah dan membantu sebarang urusan pengkebumian. Saya memang memahami masalah dihadapi oleh jiran ini dan usaha untuk dia memohon rumah sudah dilakukan, Cuma sekarang bergantung kepada pihak berkuasa memandangkan keadaan kesihatan dihadapinya sekarang ini,” katanya yang hadir sama bersama Remaja ke rumah keluarganya siang tadi.

Bagi yang mahu membantu meringankan beban keluarga ini, bolehlah salurkan ke akaun Maybank atas namanya, Arizah binti Daud di akaun 114254045494.

Baca juga catatan kawan sekolahnya yang berkongsi segala-galanya.

CER KOMEN SIKIT

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendalikan Oleh Astro Group

error: